GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Puchong: Mayat seorang wanita ditemukan di dalam bilik sebuah unit apartmen di Putra Perdana, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 2.03 petang tadi.

"Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai pintu kediaman terbabit yang berkunci," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kediaman terbabit yang berkunci.

"Sebaik pintu terbabit dibuka, pemeriksaan dilakukan di dalam kediaman itu yang membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dalam di dalam bilik.

"Mayat wanita terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:23 PM