Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan pada Program Bicara Eksklusif Bersama Penjawat Awam Persekutuan Kelantan di Dewan Misai Kucing di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan pada Program Bicara Eksklusif Bersama Penjawat Awam Persekutuan Kelantan di Dewan Misai Kucing di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memberi panduan dan nasihat kepada masyarakat supaya tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan agama Islam.

Ini susulan tindakan beberapa individu yang tidak menjaga sensitiviti agama termasuk seorang seorang pelancong asing yang tular kerana membaca potongan ayat al-Quran di hadapan kuil di Batu Caves, Selangor.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, masyarakat diingatkan supaya terus menjaga sensitiviti dan keharmonian agama.

"Justeru, pihak kita akan terus memberi nasihat dan panduan kepada masyarakat dalam isu-isu sebegini.

"Secara peribadi, saya akan melihat dan menyemak seluruh situasi supaya pandangan yang diberikan berdasarkan kepada informasi dan maklumat yang tepat.

"Kita perlu merujuk (perkara ini) kepada sumber berautoriti sekiranya sumber tidak dapat menyelesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Bicara Eksklusif Bersama Penjawat Awam Persekutuan Kelantan di Dewan Misai Kucing di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar juga sudah mengeluarkan kenyataan terhadap perkara itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelancong asing yang tular kerana membaca potongan ayat al-Quran di hadapan kuil memohon maaf di atas keterlanjurannya hingga mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini.

Pempengaruh yang menggunakan nama Abdeen itu berkata, dia tidak berniat mahu menyentuh sensitiviti mana-mana agama kerana menganggap Batu Caves sekadar lokasi bersejarah dan semua pelancong boleh merakam video bagi tujuan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:25 PM