GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memasang meter air pintar secara berperingkat dengan fasa pertama bakal membabitkan 2,000 akaun pengguna di Balik Pulau bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir K Pathmanathan berkata, pihaknya memperuntukkan RM2.5 juta bagi menampung kos pemasangan meter air pintar berkenaan dan akan diperluaskan kepada 20,000 akaun pengguna di kawasan lain pada tahun hadapan.

"Kaedah pengiraan masih sama tetapi apabila adanya meter pintar pengguna mempunyai pilihan untuk memuat turun bil secara dalam talian, sama ada dalam tempoh sebulan atau dua bulan sekali.

"Kini kita bergerak ke arah digital dan menyasarkan tidak perlu lagi mengeluarkan bil air secara fizikal pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Air Sedunia 2024 Peringkat Pulau Pinang di Taman Rekreasi Bukit Dumbar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAPP Chow Kon Yeow.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum keluhan berhubung sistem bil dwibulanan, namun tidak bermaksud pengguna perlu membayar lebih daripada kadar air digunakan.

Katanya, pengebilan dikira dengan tepat berdasarkan kepada jalur penggunaan yang diagihkan secara purata dalam tempoh dua bulan.

"Dengan adanya meter pintar, kalau pengguna mahu (membayar) bil sebulan sekali pun tiada masalah. Cuma pemasangan meter air pintar memerlukan dana yang besar.

"Ini kerana kos meter biasa sekitar RM67 berbanding meter pintar mencecah RM150. Selain mengenal pasti lokasi bersesuaian dan kita juga perlu mengetahui apa input dan output yang diperoleh daripada tindakan fasa pertama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:46 PM