- FOTO hiasan
- FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Penunggang wanita warga asing maut manakala anak perempuannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Taman Desa Mas, Bandar Country Homes, Rawang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pada jam 6.58 petang, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terima satu laporan kemalangan jalan raya di Jalan DM 1, Taman Desa Mas, Rawang dari arah Saujana Rawang menghala ke Jalan DM 1/10, Bandar Country Homes, Rawang.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari semalam di mana mangsa wanita warga asing berusia 39 tahun menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 bersama anak perempuannya berusia lima tahun.

"Semasa sampai di tempat kejadian motosikal mangsa hilang kawalan masuk ke lorong bertentangan dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa terjatuh

ke atas jalan.

"Mangsa dan anaknya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan. Mangsa mengalami kecederaan dalaman manakala anaknya cedera di kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital semasa mendapatkan rawatan.

"Mayat dihantar ke Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:45 PM