Mazshida (tengah) memeriksa dokumen perjalanan bas persiaran dalam operasi bersepadu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Mazshida (tengah) memeriksa dokumen perjalanan bas persiaran dalam operasi bersepadu, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Tanpa mengutamakan keselamatan pelancongan, ada antara syarikat pengendali pelancongan sanggup menggunakan bas sekolah sebagai bas persiaran.

Kegiatan itu dikesan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) di sini, hari ini.

Dalam operasi bersepadu itu, Motac mengeluarkan sebanyak enam notis kepada syarikat pengendali rombongan.

Pengarah Motac Terengganu Mazshida Ruslal berkata, dalam operasi bagi mengekang penyalahgunaan kenderaan yang tidak dilesenkan, sebanyak 35 kenderaan terutama bas diperiksa di enam lokasi tumpuan pelancong bermula 8 pagi hari ini.

Menurutnya, sebanyak enam notis kesalahan dikeluarkan kepada syarikat yang mengendalikan rombongan dan lawatan ke negeri itu.

"Tiga notis dikeluarkan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Industri Pelancongan 1992 dan Seksyen 20 akta yang sama.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kita dapati ada antara syarikat pengendali pelancongan menggunakan kenderaan yang tidak dilesenkan sebagai bas persiaran," katanya kepada media selepas mengetuai operasi terbabit.

Operasi itu membabitkan agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ia diadakan bagi mengekang penyalahgunaan kenderaan yang tidak dilesenkan sebagai kenderaan persiaran.

Mengulas lanjut, Mazshida berkata, kesalahan lain yang berjaya dikesan adalah mengatur dan mengendalikan rombongan serta lawatan pelancongan tanpa lesen agensi pelancongan yang sah.

Menurutnya, tiga syarikat yang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 20 Akta Industri Pelancongan 1992 boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM10,000.

"Tiga syarikat yang dikenakan notis atas kesalahan mengikut Seksyen 5 (2) akta yang sama dikompaun maksimum sebanyak RM250,000," katanya.

Mazshida berkata, syarikat pengendali pelancongan itu juga boleh dikenakan tindakan maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Dalam operasi yang sama, JPJ juga turut mengeluarkan dua notis saman atas kesalahan mengikut Seksyen 79 dan 224 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:51 PM