RAZARUDIN menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis dan kakitangan awam dalam perhimpunan itu. FOTO Ihsan PDRM
RAZARUDIN menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis dan kakitangan awam dalam perhimpunan itu. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih proaktif dan peka terhadap persekitaran dan sentiasa bersiap-siaga dengan meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi tumpuan awam serta berkepentingan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah proaktif itu perlu susulan berlaku beberapa insiden serangan di balai polis, baru-baru ini.

"Setiap penugasan perlu berteraskan kepada back to basic (kembali kepada asas) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa yang berkuat kuasa.

"Cawangan Khas khususnya perlu mempergiatkan gerak kerja operatif menerusi gerak perang saraf secara lebih berkesan bagi menangani sebarang bentuk anasir negatif dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara KPN Mei 2024 di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Cawangan Khas selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan barisan Pengarah PDRM.

Dalam majlis tadi itu, seramai 29 pegawai polis dan kakitangan awam dianugerahkan sijil penghargaan atas prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing.

Perhimpunan bulanan anjuran Cawangan Khas itu turut memberi penekanan mengenai kepentingan maklumat risikan dikumpul serta diperoleh oleh jabatan berkenaan.

Razarudin berkata, pemantauan terhadap gerak-geri kumpulan pengganas dalam dan luar negara perlu dijalankan secara holistik.

"Ini termasuk individu tertentu yang diwartakan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Kumpulan-kumpulan ini berevolusi dan bertransformasi mengikut peredaran semasa, namun ideologi mereka tidak pernah lenyap dan kadangkala hanya bertukar penampilan sahaja," katanya.

Beliau turut menyeru warga PDRM supaya terus berganding bahu, menambah baik kekurangan dan menguatkan segala bentuk kelemahan selain memperbaiki setiap kelompongan untuk terus memacu pasukan ke arah kecemerlangan lebih tinggi.

Menurutnya, keselamatan dan ketenteraman awam yang selama ini dipikul bersama mesti dipertahankan supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

"Faktor ini menjadi daya penarik kepada pelaburan asing, perdagangan antarabangsa, perniagaan, perindustrian dan lain-lain elemen pembangunan.

"Ini sudah tentunya memberi faedah besar kepada rakyat dari aspek menyediakan peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup dan kehidupan sejahtera," katanya.

Selain itu, beliau turut menitipkan nasihat kepada warga PDRM supaya terus melakukan sesi dialog, pemantauan kebajikan dan pertemuan bersemuka bersama pihak terbabit dalam ideologi radikal agar tindak tanduk mereka sentiasa dalam 'radar' pihak polis.

Sebagai rekod, sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012 dikuatkuasakan pada Julai 2012, Cawangan Khas berjaya menahan 1,551 individu dengan 964 daripadanya membabitkan kesalahan penyeludupan migran dan imigresen.

Sehingga Mei 2024, Cawangan Khas menjalankan lima operasi dalam negara yang membawa kepada 102 tangkapan membabitkan individu tempatan dan warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah ATIPSOM dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:21 PM