Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pasangan suami isteri yang menggunakan motosikal untuk ke Makkah dari sini selamat tiba di sana pada 5 Mei lalu.

Mohd Rahmat Mohammed Amin, 38, dan Nurazlinda Mohamad, 36, mengambil masa selama 44 hari dalam kembara itu untuk tiba di Makkah selepas memulakan perjalanan dari Jelebu, 19 Mac lalu.

Mohd Rahmat bagaimanapun berkata, rancangan merentas 13 negara bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan berikutan masalah visa ketika mahu memasuki Iraq.

"Berikutan masalah itu, laluan merentas tiga negara iaitu Iraq, Turkiye dan Kuwait terpaksa dibatalkan sebaliknya kami mengubah laluan ke Iran, UAE (Emiriah Arab Bersatu) sebelum ke Arab Saudi.

"Kami bersyukur selepas menempuh pelbagai halangan termasuk ketika melalui laluan Tibet-Himalaya iaitu laluan paling ekstrem di dunia, akhirnya kami selamat tiba di Tanah Haram," katanya.

Menurutnya, motosikal Yamaha Fz 150 yang digunakan juga tidak banyak menimbulkan masalah sekali gus antara faktor dia sampai ke Makkah seperti dijadualkan pada 5 Mei lalu.

Katanya, pengalaman melalui laluan Lhasa-Tibet di Banjaran Himalaya antara paling menakutkan selepas isterinya diserang gejala sindrom akut gunung (AMS).

"Keadaan mungkin bertambah buruk sekiranya tiada bantuan daripada penduduk tempatan yang memberi pertolongan segera kepada isteri.

"Cuaca sejuk sehingga -16 darjah Celsius ketika melalui laluan di Himalaya itu juga merupakan cabaran kepada kami namun Alhamdulilah, semuanya dipermudahkan Allah untuk kami meneruskan perjalanan," katanya.

Mohd Rahmad berkata, dia dan isteri juga gembira kerana dapat menyambut Aidilfitri di Taj Mahal, India yang menjadi tumpuan pelancong dengan memakai baju Melayu.

"Menempuh ribut pasir ketika melalui Lebuh Raya 10 iaitu jalan paling lurus di dunia yang menghubungkan Al Darb ke Al Batha sejauh 240 kilometer juga menjadi pengalaman yang tidak dilupakan.

"Pengalaman lain adalah ketika menunggang motosikal dari Taif dengan berihram menuju ke Makkah sejauh 80 kilometer tanpa memakai topi keledar dengan suhu ketika itu 14 darjah Celsius," katanya.

Menurutnya, dia juga dimaklumkan oleh mutawif belum ada rakyat Malaysia yang memasuki Makkah dengan menunggang motosikal sambil berpakaian ihram.

Mohd Rahmat berkata, dia akan kekal tinggal di Makkah sehingga selesai ibadah haji dan akan menggunakan masa yang ada untuk menunaikan umrah dan melawat tempat bersejarah.

Mengakui menggunakan motosikal atau kereta mempunyai cabarannya sendiri, Mohd Rahmat menggesa mereka yang mahu menggunakan cara itu untuk ke Makkah supaya membuat persiapan awal dan memahami undang-undang di setiap negara terutama membabitkan visa bagi mengelakkan sebarang masalah.

Sebelum itu, ketibaan Mohd Rahmat dan isteri di Riyadh disambut oleh Duta Malaysia Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah selain mereka turut dirai dalam majlis makan tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:59 PM