Mohd Azizi melihat kediaman mereka yang musnah terbakar di
Mohd Azizi melihat kediaman mereka yang musnah terbakar di
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Pauh musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Mohd Azizi Idris, 43, berkata, ketika kejadian dia, isteri, Norhayati Abdullah, 40, serta empat anak mereka berusia tiga hingga 16 tahun tidak berada di rumah kerana keluar membeli barang di bandar Pengkalan Chepa.

Katanya, selepas 10 minit keluar dari rumah, dia menerima panggilan daripada adiknya pada jam 9.20 malam yang tinggal bersebelahan memaklumkan kediaman mereka sedang terbakar.

"Kami sekeluarga kemudiannya berpatah balik dan sebaik tiba di perkarangan rumah tidak ada apa yang dapat diselamatkan kerana api terlalu marak, namun bersyukur tidak ada kemalangan jiwa.

"Namun yang lebih menyedihkan, duit raya anak-anak yang berjumlah RM3,500 hangus dan keseluruhan kerugian dianggarkan kurang RM50,000," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Asma'Bahrum Nik Abdullah turut menziarahi keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban ditanggung.

Mohd Azizi yang bekerja sendiri berkata, kediaman yang dihuni mereka sekeluarga juga baharu sahaja dibaiki pada Ogos tahun lalu dengan menggantikan dinding yang reput akibat dimakan anai-anai menggunakan bantuan E-Kasih.

"Selain kehilangan rumah, anak-anak paling terkesan kerana kelengkapan sekolah mereka juga terbakar.

"Buat sementara waktu, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Zaidi Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.27 malam dan tiba di lokasi 19 minit kemudian.

Katanya, seramai 18 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bernombor 03018021527568 atas nama Mohd Azizi Idris atau boleh menghubunginya di talian 019-2925921.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:58 PM