Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid (kanan memakai seragam) menunjukkan rokok seludup yang dikisar. FOTO NAZDY HARUN
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid (kanan memakai seragam) menunjukkan rokok seludup yang dikisar. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan 190 kotak rokok seludup dengan anggaran nilai melebihi RM1.3 juta.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, rokok terbabit dirampas di kawasan perairan daerah Besut pada April tahun lalu.

Menurutnya, hasil operasi khas dan risikan, aktiviti penyeludupan ini berjaya dipatahkan oleh bot peronda Maritim Malaysia dan merampas 1.9 juta batang rokok putih bersama sebuah lori.

Katanya, kerja pelupusan dijangka mengambil masa selama dua hari dengan cara mengisar kesemua rokok.

"Sisa rokok akan dibuang dan ditanam di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, di Paya Tok Por, Sungai Ikan, Kuala Nerus.

"Untuk rekod sejak tahun lalu hingga kini, Maritim Malaysia, Terengganu merekodkan hasil pelupusan rokok rampasan sebanyak RM2 juta," katanya pada sidang media di Pejabat APMM, Pulau Kambing, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati penyeludup kini menukar modus operandi dengan membawa masuk rokok seludup dalam kuantiti sedikit berbanding sebelum ini.

"Ia bertujuan bagi memudahkan penyeludup untuk meloloskan diri apabila dikejar pihak berkuasa.

"APMM Terengganu akan terus tingkatkan rondaan di sekitar perairan Terengganu bagi membanteras penyeludupan rokok daripada terus berleluasa hingga merugikan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:48 PM