Timbalan Pengarah Operasi APMM Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar (berkaca mata), menunjukkan bot yang ditahan dalam Op Naga Barat. FOTO NAZDY HARUN
Timbalan Pengarah Operasi APMM Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar (berkaca mata), menunjukkan bot yang ditahan dalam Op Naga Barat. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Dua bot nelayan Vietnam bersama hasil tangkapan dan peralatan bernilai RM3 juta berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, bot terbabit berjaya ditahan kira-kira jam 9 malam oleh kapal peronda yang menjalankan Op Naga Barat.

Menurutnya, kedua bot terbabit ditahan pada kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu selepas dikejar kira-kira sejam berikutan kedua-dua bot itu cuba melarikan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 12 orang awak-awak bersama tekong warga negara Vietnam berusia 19 hingga 35 tahun.

"Kesemua yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemua akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963.

"Selain itu, kedua-dua bot juga tidak mempunyai permit menangkap ikan yang sah dan ditahan kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985," katanya pada sidang media di Pejabat APMM, Pulau Kambing, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan nilaian anggaran rampasan keseluruhan kedua-dua bot termasuk hasil tangkapan, peralatan dan diesel bernilai RM3 juta.

Katanya, musim sotong yang bermula pada bulan April hingga Ogos menarik minat bot nelayan Vietnam hingga berani menceroboh perairan negara bagi mencuri hasil laut berkenaan.

Beliau berkata, setiap kali apabila berakhirnya musim monsun dan diikuti tibanya musim sotong, kes pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan Malaysia akan meningkat berbanding bulan biasa.

"Sepanjang Op Naga Barat dilaksanakan dari tahun 2019 sehingga kini, APMM Terengganu merekodkan sebanyak 135 tangkapan membabitkan bot nelayan Vietnam dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM280 juta.

"Pada tahun ini sahaja, tangkapan ini adalah yang ke 10 membabitkan pencerobohan nelayan asing dan APMM Terengganu akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras kemasukan bot nelayan asing di sekitar perairan negara khususnya perairan Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:18 PM