Nik Shaheera tidak pernah mengeluh malah terus cekal menjaga anak bongsunya, Nur Qamra Balqis yang dikategorikan OKU masalah pembelajaran. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Nik Shaheera tidak pernah mengeluh malah terus cekal menjaga anak bongsunya, Nur Qamra Balqis yang dikategorikan OKU masalah pembelajaran. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang ibu tunggal dari Kampung Seri Paduka, Binjai, di sini, kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas berpisah dengan bekas suaminya sejak setahun lalu selain turut menjaga anak orang kurang upaya (OKU) dalam serba kedaifan.

Nik Shaheera Nik Mat, 32, tidak pernah mengeluh malah terus cekal menjaga anak bongsu daripada dua beradik, Nur Qamra Balqis Mohd Khairul Al Hafiz, 9, yang dikategorikan sebagai OKU masalah pembelajaran.

Katanya, dia kini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM50 sehari untuk menyara kehidupan seharian selain perbelanjaan anak sulungnya, Nur Qaisara Batrisya, 10, yang masih bersekolah.

"Pendapatan yang diperoleh tidak menentu disebabkan kerap meminta cuti berikutan keadaan Nur Qamra Balqis yang sukar ditinggalkan.

"Namun saya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa bekerja, tetapi mujurlah majikan memahami situasi saya yang menjaga anak istimewa," katanya ketika ditemui di Kampung Seri Paduka, Binjai.

Katanya, setiap bulan RM1,000 dibelanjakan untuk membeli keperluan Nur Qamra Balqis selain kos kereta tambang setiap kali berulang alik menghadiri temujanji di hospital,

"Namun saya bersyukur mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Saya perlu membawa Nur Qamra Balqis empat kali dalam tempoh sebulan ke Hospital Universiti Sains (USM) Kubang Kerian. Kos kereta tambang RM30 untuk pergi dan balik dan ada ketikanya meminta belas ihsan menumpang kereta jiran terdekat," katanya.

Nik Shaheera berkata Nur Qamra Balqis dilahirkan pramatang ketika usia kandungan tujuh bulan dan mendapat rawatan selama empat bulan di Hospital Universiti Sains (USM) Kubang Kerian.

"Ketika Nur Qamra Balqis berusia tiga bulan, doktor memaklumkan terdapat jangkitan kulat dalam injap jantungnya.

"Dia juga tidak boleh bercakap dan apabila memerlukan sesuatu dia hanya menunjukkan melalui reaksi gerak tubuhnya," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini bolehlah melalui akaun CIMB bernombor 0301-0117352-52-6 atas nama Nik Shaheera Nik Mat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 11:43 AM