Kelihatan Sebanyak 10 van jenazah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 2.15 petang untuk membawa mangsa nahas helikopter TLDM. FOTO ASWADI ALIAS
Kelihatan Sebanyak 10 van jenazah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 2.15 petang untuk membawa mangsa nahas helikopter TLDM. FOTO ASWADI ALIAS
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa insiden helikopter terhempas yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak selesai pada 2.20 petang tadi.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.

Menurutnya, jenazah mendiang Leftenan T Sivasutan pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan pada esok.

"Manakala, jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik sudah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin.

"Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:58 PM