Satiful Bahari Mamat
Satiful Bahari Mamat
Baharom Bakar

Foto: Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerajaan bercadang menaikkan kadar elaun guru khidmat masyarakat daripada RM300 sebulan kepada RM1,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, kenaikan kadar elaun guru khidmat masyarakat itu hanya boleh dilakukan jika kerajaan negeri menerima royalti petroleum.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri hanya mampu membayar elaun sebanyak RM300 kepada guru khidmat masyarakat.

"Jika kerajaan negeri memperolehi royalti petroleum daripada kerajaan pusat, kita akan naikkan sebanyak RM700 menjadikan RM1,000 sebulan," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi pada Persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) hari ini.

Melalui soalan asal, Tengku Muhamad Fakhruddin bertanyakan apa perancangan kerajaan untuk memastikan kebajikan guru-guru al-Quran di peringkat kampung terbela.

Mengulas lanjut, Satiful berkata, Yayasan Islam Terengganu (YIT) sentiasa mengadakan program bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran semua guru khidmat masyarakat.

Katanya, YIT juga turut mengadakan program kongsi rezeki kepada guru khidmat masyarakat setiap tahun.

"Kursus guru juga diadakan untuk meningkatkan mutu pembelajaran guru.

"YIT sedang meneliti dan membuat pemilihan guru yang sesuai untuk dijadikan sebagai guru pembimbing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:42 PM