Wan Sukairi Wan Abdullah
Wan Sukairi Wan Abdullah
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Peruntukan membiayai kos perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan pada tahun ini dijangka meningkat daripada RM78.9 juta kepada RM81.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.6 juta berbanding RM78.9 juta tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu disebabkan perubahan kadar cukai perkhidmatan (Sales and Service Tax) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac lalu.

"Antara usaha-usaha yang digerakkan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kepada tahap optimum dan mengikut standard piawaian ialah dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.47 juta untuk pembelian tiga jentera 'skylift' yang diserahkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Kemaman dan Majlis Daerah Hulu Terengganu bagi kerja-kerja pemangkasan pokok teduhan.

"Kita turut meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada MBKT bagi menampung kos sewaan tong RORO yang ditempatkan di 15 lokasi 'hot spot' sempena Aidilfitri tahun ini," katanya.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Istiadat Pembukaan Penggal) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Wan Sukairi turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengerah keringat bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terpelihara terutama sekali ketika menjelang Aidilfitri baru-baru ini.

Katanya, peningkatan ketara jumlah pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan sehingga tiga kali ganda dengan purata sekitar 300 tan hingga 400 tan sehari berbanding hari biasa.

"Namun, PBT khususnya MBKT mengaturkan beberapa pelan tindakan untuk memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal berjalan dengan lancar.

"Ia termasuk penubuhan pasukan 'task force' operasi pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal yang terdiri daripada 107 pegawai dan kakitangan MBKT daripada pelbagai unit dan jabatan dalaman dan penyusunan semula jadual kutipan sisa pepejal untuk semua zon bermula 1 April hingga 14 April lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:27 PM