Nizam Abu Bakar Titingan
Nizam Abu Bakar Titingan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengutamakan pemberian milikan tanah sebagai antara pendekatan membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat dalam kalangan anak negeri Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dua jenis tanah digunakan untuk iaitu tanah berstatus anak negeri (NT) dan Field Register (FR).

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah sehingga 31 Mac 2024, jumlah geran tanah berstatus NT dan FR adalah sebanyak 230,540.

Katanya, jumlah itu mewakili 54 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah sehingga kini.

"Jumlah tanah pajakan yang berdaftar setakat 31 Mac 2024 pula ialah sebanyak 200,087 ataupun 46 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tanah berdaftar," katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Raimie Unggi (BN-Dilantik) mengenai jumlah keluasan tanah dan bilangan geran NT serta CL (Country Lease) yang diluluskan kerajaan kepada pemohon rakyat Sabah.

Nizam berkata, tanah pajakan adalah penting dalam pembangunan ekonomi Sabah dari segi kutipan hasil negeri, pembangunan, pelaburan dan peluang pekerjaan.

"Kerajaan negeri sentiasa memastikan keseimbangan di antara bilangan keseluruhan NT/FR dan tanah pajakan iaitu dari segi pemberi milikan tanah demi mencapai objektif kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan negeri," katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, sebanyak 4,339 deraf geran dengan keluasan 8,787.41 hektar untuk permohonan tanah bersyarat NT dan FR disediakan sepanjang tahun lalu.

Selain itu, katanya, sebanyak 406 deraf geran dengan keluasan 5,199.53 hektar untuk permohonan tanah bersyarat pajakan disediakan sepanjang tahun lalu.

"Geran NT dan FR hanya boleh diberi milik kepada anak negeri Sabah saja, manakala CL boleh diberi milik kepada syarikat, badan berkanun dan individu sama ada berasal atau bukan berasal dari Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 2:50 PM