BANGKAI pesawat helikopter yang terhempas dalam satu insiden di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak. FOTO BERNAMA
BANGKAI pesawat helikopter yang terhempas dalam satu insiden di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) berharap punca sebenar kemalangan udara membabitkan dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengorbankan 10 anggota di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, semalam, disiasat dengan segera.

Ketua Biro Portfolio Pertahanan PN, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, punca kemalangan itu dapat dikenal pasti dengan mengambil kira kepentingan kesiagaan aset pertahanan milik TLDM.

Beliau turut mengalu-alukan dan menyambut baik tindakan pantas pihak TLDM untuk menubuhkan Lembaga Siasatan Kemalangan Udara bagi menyiasat tragedi itu.

"Saya yakin terhadap ketelusan dan keupayaan lembaga siasatan itu dalam mengenal pasti punca kejadian itu.

"Saya berasa amat sedih dan dukacita berikutan kemalangan membabitkan dua helikopter milik TLDM yang terhempas ketika menjalani latihan raptai Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah turut merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa.

"Dalam keadaan seluruh negara bersedih dan terkejut dengan tragedi itu, saya meminta semua pihak bersabar dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan keluarga mangsa.

"Tambahan pula pesawat yang terbabit relatifnya baharu iaitu jenis AS 555 SN (Fennec) (tidak pernah mengalami sebarang kemalangan sejak digunakan bermula 2004), manakala AW 139 (HOM) adalah jenis model yang sama (milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) terbabit dalam kemalangan pada 5 Mac lalu di Perairan Pulau Angsa, Klang dan pada 27 Februari 2020 di Tawau (milik Polis Diraja Malaysia).

"Kekerapan insiden kemalangan pesawat dari jenis AW139 amat merisaukan saya sebagai pemerhati luar," katanya.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat membuat sebarang spekulasi sebaliknya tetap sabar menanti hasil siasatan lembaga siasatan yang ditubuhkan oleh TLDM.

Terdahulu media melaporkan, seramai 10 anggota dilaporkan terkorban selepas dua helikopter milik ATM bertembung dalam kejadian di Kem TLDM Lumut.

Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi sebelum bertembung di udara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 2:09 PM