TIMBALAN Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan.
TIMBALAN Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan.
Aslina Abu Bakar

Kuala Lumpur: Semalam Metro Ahad  mendedahkan terdapat kumpulan  menjalani gaya hidup gaya hidup Adult Baby Diaper Lover (ABDL) atau sindrom 'bayi dewasa'.

Amalan hidup ini bermula di luar negara namun kini merebak dan mempunyai komuniti di negara ini.

Meskipun kewujudan golongan itu  terpencil, tetapi mudaratnya mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Seperti yang  dijangka, hasil tinjauan mendapati ramai tidak mengetahui apa makna ABDL.

Penjawat awam, Badrul Hisham Mat Isa berkata, biarpun komuniti itu  wujud di negara ini namun gaya hidup  sebagai bayi dewasa tidak diketahui umum.

"Ini pertama kali saya dengar, biasanya orang pakai lampin pakai buang sebab dia ada masalah kesihatan seperti kencing manis atau sebaliknya. Ini (ABDL) benar-benar kelakar dan saya tak sangka orang Malaysia dewasa ada berkelakuan pelik macam ini," katanya.

Ada yang berpandangan gaya hidup itu pelik namun beranggapan ia berkemungkinan berpunca daripada trauma masa lalu.

Pun begitu, bagi kakitangan awam Shakila Bakar, dia  kurang senang apabila terpaksa berdepan dengan golongan mengamalkan gaya hidup pelik ini.

"Lebih dibimbangi kelompok itu  dalam diam akan merebak seperti barah.  Bukan mereka yang merana, tetapi  pasangan hidup bagi yang sudah berumah tangga," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan berkata, hukum mengamalkan gaya hidup ABDL dilarang oleh agama Islam, sekali gus berdosa.

Menurutnya, ABDL sebenarnya menentang fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT.

"Mereka yang sudah mumaiyiz atau dewasa sepatutnya mempunyai tugas dan amanah dalam kehidupan terutama mendidik, membimbing keluarganya, isterinya dan anak-anak.

"Kecelaruan tersebut dengan berperangai seperti bayi ini maknanya sukar dan ada dalam kalangan isteri memohon berpisah, bercerai," katanya.

Menurutnya, membiarkan diri dengan sengaja bersama najis apabila memakai lampin pakai buang tanpa tujuan juga hukumnya haram.

"Walaupun Islam meletakkan kaedah tertentu menyucikan najis dalam kategori mutawasitah  namun jika bukan darurat atau faktor kesihatan  maka tiada sebab melewatkan menyucikan diri dengan memakai lampin (pakai buang).

"Kebersihan itu sebahagian daripada iman, jadi sengaja kita bermain dengan najis atau membiarkan najis tidak disucikan maka ia membawa kesan cukup berat kepada penerimaan ibadah di sisi Allah SWT," katanya.

Beliau turut memohon umat Islam yang menjalani gaya hidup ABDL kembali kepada fitrah ditentukan Allah SWT  dengan tidak menjadikan amalan negara Barat itu sebagai ikutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 7:00 AM