GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Seremban: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu untuk sentiasa mematuhi garis panduan penganjuran aktiviti luar bilik darjah.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya komited memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid sentiasa diberi perhatian.

Terdahulu, KPM menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah dekat sini iaitu Nuqman Naufal Shamsul Fadzli yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti merentas desa semalam.

"KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga Allahyarham Nuqman Naufal. Pada masa sama, KPM telah mengambil tindakan segera untuk memberi bantuan kebajikan kepada pihak keluarga," katanya.

Nuqman Naufal, 14, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, keterangan bapa pelajar itu mendapati Nuqman Naufal menghidap jantung berlubang pada 2016 dan mempunyai kad rawatan dari Institut Jantung Negara selain sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 5:45 PM