Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melihat pemandangan sekitar dariBamgunan  Kompleks LakePoint. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melihat pemandangan sekitar dariBamgunan Kompleks LakePoint. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Kompleks LakePoint, satu tarikan baharu SP Setia Bhd di Setia AlamImpian, hari ini.

Baginda merasmikan kompleks merangkumi sebahagian daripada perbandaran Setia AlamImpian itu yang dijangka mampu menarik kira-kira 10,000 hingga 12,000 pengunjung setiap bulan.

Pengerusi SP Setia Bhd, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, sejak Kompleks LakePoint membuka pintunya kepada umum pada Ogos tahun lalu, pihaknya menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung bukan saja dari Shah Alam tetapi daerah berdekatan.

"Kompleks LakePoint terdiri daripada LakePoint Central (pusat runcit), LakePoint Club (rumah kelab) dan LakePoint Gallerie (galeri jualan dan pejabat) yang terletak bersebelahan dengan LakePoint Park (taman dan tasik) dengan landskap dan infrastruktur yang dipertingkatkan.

"Kompleks LakePoint bersedia menjadi permata mahkota perbandaran pelan induk seluas 499.78 hektar kami di Setia AlamImpian di Shah Alam.

"SP Setia yakin kompleks ini akan mengukuhkan kedudukan Setia AlamImpian sebagai salah satu alamat berprestij di Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian Kompleks LakePoint oleh Sultan Sharafuddin di Setia AlamImpian, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Syed Anwar berkata, LakePoint Central merangkumi kawasan ruang runcit yang boleh disewa bersih seluas 2,604 meter persegi.

Selain itu katanya, Kelab LakePoint pula menawarkan kemudahan rekreasi termasuk empat gelanggang badminton, gelanggang futsal, kolam renang infiniti bersaiz Olimpik, kolam renang, sauna, studio tarian, bilik permainan, gim yang menghadap ke LakePoint Park, dan dewan besar yang boleh memuatkan 1,000 orang.

Beliau berkata, perbandaran pegangan bebas Setia AlamImpian itu dilancarkan pada November 2006 oleh ISP Group Sdn Bhd sebagai AlamImpian sebelum penggabungan Kumpulan I&P dengan SP Setia pada 2017.

"Setia AlamImpian, yang mempunyai nilai pembangunan kasar yang berjumlah RM8.2 bilion terdiri daripada tujuh kawasan landskap bertema seni Seni Persembahan, Seni Halus, Seni Muzik, Seni Digital, Seni Sinematik, Seni Industri dan Seni Minimalis.

"Perbandaran ini akan mempunyai presint premium dengan rumah unit berkembar yang akan dilancarkan tahun ini dan rumah unit banglo yang akan dilancarkan menjelang 2025.

"Selepas siap sepenuhnya pada 2036, perbandaran ini akan mencecah hampir 80,000 penduduk yang akan menghuni 20,000 unit kediaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 1:04 PM