IPD Ampang Jaya.
IPD Ampang Jaya.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menafikan lambat mengambil tindakan berhubung kejadian warga asing membuat bising di Pandan Perdana, seperti ditularkan pemilik akaun X, @syednu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, satu kejadian ditularkan oleh pemilik akaun X, @syednu yang mengatakan sekumpulan warga asing membuat bising di Pandan Perdana dan laporan polis sudah dibuat, tetapi mendakwa pihak polis lambat mengambil tindakan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, tiada laporan polis yang dibuat mengenai warga asing yang dikatakan selalu membuat bising di kawasan Pandan Perdana.

"Pernyataan warga asing "selalu" membuat bising di kawasan Pandan Perdana adalah tidak benar di mana siasatan juga mendapati perakam video yang memuat naik video itu memprovokasi seorang wanita warga asing berkenaan dan ditenteramkan oleh suaminya.

"Kejadian seperti itu jarang berlaku dan semakan yang dibuat dalam tahun 2024, hanya ada satu panggilan telefon mengadu jiran membuat bising di kawasan Pandan Perdana," katanya dalam kenyataan.

Nazruel Ekram berkata, tindakan yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya adalah sebaik sahaja unit peronda polis (MPV) tiba, jiran yang buat bising masuk ke rumahnya dan tidak lagi membuat bising.

"Pihak IPD Ampang Jaya sentiasa memberikan maklum balas dengan pantas setiap panggilan telefon atau aduan yang memerlukan tindakan serta-merta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 9:04 AM