GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Padang Besar: Jabatan Imigresen Perlis menahan 49 warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Bukit Chabang, di sini awal pagi tadi.

Pengarahnya Khairul Amin Talib berkata, 101 warga asing diperiksa dalam serbuan sekitar pukul 1.10 pagi itu yang dilancarkan hasil pemantauan dan risikan oleh Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Perlis.

"Seramai 49 daripada mereka ditahan, dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih daripada tempoh dibenarkan di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga India, 44 orang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Bangladesh, semuanya berumur 19 hingga 54 tahun.

"Jabatan Imigresen Perlis tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalahguna pas lawatan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:25 PM