Norzamira Che Noh

Shah Alam: Wanita berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bertindak menunjukkan kemaluannya dalam kejadian di Bukit Belimbing, Seksyen 26 di sini, Selasa lalu.

Lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai mabuk dan mempunyai masalah mental itu ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 11 malam, yang dilapor mangsa wanita berusia 25 tahun.

"Tangkapan kemudian dibuat orang awam di lokasi kejadian dan menyerahkan lelaki itu kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek sedang menjalani rawatan psikiatrik di sebuah hospital swasta di Klang.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa klip video menunjukkan suspek cuba melarikan diri dengan kereta, namun ditahan orang awam sehingga mendatangkan kekecohan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 5:53 PM