Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) menunjukkan gambar lokasi sindiket penipuan atas talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) menunjukkan gambar lokasi sindiket penipuan atas talian di Menara KPJ, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Raja Noraina Raja Rahim dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pemberian hadiah percuma dari rumah ke rumah dipercayai taktik terbaharu sindiket penipuan.

Ini berikutan video tular baru-baru ini menunjukkan hadiah botol air yang mempunyai cetakan kod pengimbas QR yang diagihkan ke rumah.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penerima diminta mengimbas kod QR itu untuk membolehkan memenangi kupon tunai bernilai RM200.

"Hakikatnya apabila diimbas, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan yang kemudiannya akan mengakibatkan mereka kehilangan wang dalam akaun bank.

"Walaupun setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan polis mengenai modus operandi sedemikian, namun taktik ini harus dihebahkan kepada masyarakat sebagai informasi dan langkah pencegahan.

"Adalah diingatkan, ini adalah satu cubaan penipuan melalui kaedah 'phishing' dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengimbas kod QR yang diberikan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan sindiket penipuan didakwa menggunakan taktik memberikan hadiah percuma dengan mengagihkannya dari rumah ke rumah walaupun barang itu tidak dipesan.

Perkongsian yang tular di aplikasi WhatsApp menunjukkan satu rakaman seorang lelaki mendakwa mendapat hadiah botol air atau tumbler percuma yang diletakkan di pintu pagar rumahnya.

Apa yang mencurigakan ialah kod QR pada botol air itu yang turut didatangkan dengan ayat 'pancing' kononnya orang ramai boleh memenangi kupon tunai apabila mereka berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:29 PM