GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hazira Ahmad Zaidi


Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai RM5,000 pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima laporan daripada penghuni rumah pada 9.30 malam kejadian.

Katanya, mangsa berusia 32 tahun itu mendapati tingkap di bahagian pintu belakang rumahnya terbuka dan terdapat kesan umpil.

"Hasil pemeriksaan mendapati wang tunai dianggarkan bernilai RM1,000 dilarikan selain dua bentuk cincin emas, emas seberat satu gram, seutas jam tangan jenama Guess dan anak kunci rumah dengan anggaran kerugian RM5,000," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan di tempat kejadian pihaknya menemui cap jari dipercayai milik suspek yang ditinggalkan semasa memecah masuk rumah mangsa.

"Ketika kejadian, suspek dipercayai masuk melalui bahagian tingkap bilik tidur," katanya.

Mohd Razi berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 9:50 AM