Muhammad Izzad Daniel Abdullah.
Muhammad Izzad Daniel Abdullah.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Sambutan Syawal 2017 buat pertama kali saya merasai erti hari raya sebenar. Jika tidak dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney, mungkin sampai sekarang saya masih kekal dengan perangai sama".

Demikian kata Muhammad Izzad Daniel Abdullah, 25, mengenai pengalamannya menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai penghuni Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka dari 2016 hingga 2019.

Menurutnya, pada ketika itu juga, dia buat pertama kali sujud di kaki ibunya Rohani Yunus, 52, selain meminta bapanya, Zulkefli Abdullah, 54, mencium dahinya.

"Di dalam sekolah itu baharu saya hargai semua momen dilalui terutama setiap kali tibanya Syawal. Jika difikir semula sangat sedih.

"Bukan saja saya, tapi semua penghuni memang berharap ahli keluarga datang melawat pada hari raya.

"Alhamdulillah, dari tahun pertama hingga ketiga menyambut hari raya di situ keluarga saya sentiasa datang.

"Saya ingat lagi, pada 2017 saya bersujud di kaki mak, menangis meminta maaf dan restu kedua ibu bapa. Sebelum ini, semua itu saya tak pernah buat.

"Malah, kalau dulu ayah nak cium dahi saya menolak sebab berasa malu. Tetapi, pada tahun itu saya yang minta ayah untuk berbuat sedemikian.

"Sepanjang usia remaja, saya jarang bersama keluarga pada hari raya sebaliknya banyak masa bersama kawan-kawan," katanya kepada Harian Metro.

Izzad yang dimasukkan ke sekolah itu kerana terbabit dengan dadah dan aktiviti pecah rumah berkata, jika dapat diundurkan masa dia sama sekali tidak mahu melalui kisah hitam itu.

Menurutnya, berada di sekolah itu tidak memberikan sebarang keceriaan tatkala umat Islam lain bergembira menyambut hari raya.

"Tiga tahun di sekolah itu, tiga kali juga saya beraya di situ. Nak cakap soal perasaan memang berbeza dengan di luar.

"Makanan atau juadah raya memang tidak ada kecuali dibawa oleh ahli keluarga yang datang melawat pada raya ketiga dan keempat.

"Dapat makanan sedap pun hanya pada raya pertama iaitu ayam masak merah. Itu pun sekali saja ketika waktu makan tengah hari, pendek kata, di dalam sekolah itu tidak ada suasana raya.

"Kami terpaksa menceriakan diri sendiri dengan buat bunyian mercun. Baju raya pula adalah pakaian seragam sekolah.

"Keadaan lebih sayu pada raya pertama ketika melaungkan takbir raya. Masa itu barulah teringat semua kesalahan dan menyesali setiap perbuatan," katanya.

Menurutnya, semua yang dilalui di sekolah itu pasti menggamit memori setiap kali tibanya Syawal.

"Selepas keluar dari sekolah itu dan setiap kali hari raya, hati pasti terusik dan terkenang suasana beraya di sana. Jika diimbas semula, ia sebuah pengalaman berharga selain pengajaran yang menginsafkan," katanya.

Nekad tidak mengulangi kesilapan sama, anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu sudah mampu mengukir senyuman di bibir kedua ibu bapanya dengan kejayaan dicapai hari ini.

Pengalaman sebagai pesalah juvana yang dibukukan menerusi hasil tulisannya Peluang Kedua berjaya diterbitkan pada 2022.

Selain itu, dia turut dijemput menjadi penceramah jemputan bagi memberikan motivasi di sekolah, kepada penghuni di sekolah juvana dan penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:16 PM