Dari kiri: Ho Weng Yun, Steven Tiw Tee Siang dan Loh Hor Thal menunjukkan gambar kediaman warga emas itu yang disimbah cat merah oleh individu dipercayai ah long serta salinan laporan polis berhubung kejadian itu. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Dari kiri: Ho Weng Yun, Steven Tiw Tee Siang dan Loh Hor Thal menunjukkan gambar kediaman warga emas itu yang disimbah cat merah oleh individu dipercayai ah long serta salinan laporan polis berhubung kejadian itu. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Batu Gajah: Pasangan warga emas di Kampung Baru Nalla, dekat Tronoh, di sini ketakutan kerana menerima nota ugutan bunuh dan kediaman disimbah cat merah dipercayai akibat anak lelaki mereka gagal melangsaikan hutang.

Ho Weng Yun, 63, bersama isterinya, Loh Hor Thal, 62, bagaimanapun tidak mengetahui di mana anak bongsu daripada tiga beradik berusia 31 tahun itu selepas dia melarikan diri daripada rumah sejak Oktober tahun lalu.

Ho berkata, dia hanya mengetahui anaknya membuat pinjaman along selepas menerima panggilan daripada individu tak dikenali yang mengarahkan anaknya itu supaya membayar hutang segera.

Tidak berhenti di situ, bekas buruh ladang sayur itu menerima sampul surat berisi kertas tertera gambar kad pengenalan anak serta gambar menantunya pada jam 11 malam, 28 November tahun lalu.

"Ada beberapa kertas ugutan antaranya bertulis 'seluruh orang yang ada hubungan dengan kamu akan mati, bayar hutang segera' dan diselitkan alat sembahyang untuk orang mati.

"Saya cuba hubungi anak saya (peminjam), tapi gagal. Pada jam 3 pagi, 6 April lalu, saya terjaga daripada tidur kerana terdengar bunyi letupan. Apabila saya periksa di luar rumah, pagar dan dinding sudah dibaling cat merah bersama nota ugutan.

"Saya sudah buat empat laporan polis kerana risaukan keselamatan diri dan keluarga," katanya semasa ditemui pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang di Pusat Khidmat Dun Tronoh, di sini, hari ini.

Ho berkata, selepas berbincang bersama ahli keluarga yang lain, mereka berhasrat memutuskan pertalian kekeluargaan dengan anak lelakinya itu dan meminta along berkenaan supaya tidak lagi mengganggu mereka.

"Kami orang miskin, tiada duit hendak bayar. Tolonglah jangan ganggu kami, sebaliknya carilah anak kami yang meminjam," katanya.

Sementara itu, Loh berkata mereka tidak tahu-menahu jumlah hutang ditanggung anaknya dan bilangan kumpulan along yang memberi pinjaman.

"Saya pernah berpesan kepada dia supaya tak terbabit dengan kegiatan judi, dadah mahu pun meminjam along, namun semua yang dilarang itu sekarang dia lakukan sehingga membahayakan nyawa ibu bapanya sendiri," katanya sambil mengalirkan air mata.

Bercerita lanjut, Loh berkata, anaknya itu pernah bekerja sebagai pembantu penjaja kecil di Singapura sebelum pulang ke kampung pada tahun lalu.

"Dia pulang bersama isteri dan sepasang anaknya masing-masing lelaki berusia lima tahun manakala anak perempuan berusia lapan tahun.

"Mereka duduk di sini kira-kira dua bulan saja sebelum melarikan diri, bagaimanapun anak perempuannya ditinggalkan bersama kami tanpa sebarang penjelasan.

"Kami dapat tahu dia menagih dadah pun hanya selepas anak perempuannya yang kini kami jaga memberitahu kami," katanya.

Dalam pada itu, Steven berkata, sidang media terbabit diadakan atas permintaan kedua-dua mangsa bagi menjelaskan situasi yang berlaku dan berharap tiada lagi kejadian yang mengganggu ketenteraman kejiranan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 4:37 PM