MOHD Fared (dua kiri) menyampaikan Sijil Sekolah Terbaik peperiksaan SDEA kepada Sekolah Agama Taman Sri Saujana di Sekolah Agama Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
MOHD Fared (dua kiri) menyampaikan Sijil Sekolah Terbaik peperiksaan SDEA kepada Sekolah Agama Taman Sri Saujana di Sekolah Agama Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Johor akan mengadakan khutbah khas solat Jumaat dengan isi kandungan menyeru umat Islam untuk terus mendoakan dan menghormati pemimpin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kebiasaannya teks bacaan khutbah disiapkan untuk tempoh sebulan.

Namun katanya khutbah khas seruan mendoakan sesama muslimin termasuk pemimpin akan dilaksanakan.

"Amalan tersebut sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab umat Islam untuk mendoakan sesama muslim demi kebaikan bersama.

"Saya percaya dalam tempoh dua minggu ini sesuai untuk dilaksanakan draf (pengisian khutbah tersebut) untuk diedar kepada semua khatib, supaya Bangsa Johor khususnya bertanggungjawab mendoakan sesama muslimin.

"Apatah lagi kepada pemimpin sebab pemimpin adalah orang yang mendoakan kita, malah hadis riwayat Nabi Muhammad SAW pun ada menyebutkan perkara ini.

"Ini bukan soal awak tak nak doakan dia (pemimpin) sebab tak bersekutu. Kita kena doakan pemimpin walaupun mungkin berbeza pendapat, itu bukan cerita (alasannya)," katanya selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi di sini hari ini.

Mohd Fared semasa berucap juga melahirkan rasa bimbang terhadap perbuatan tidak menghormati pemimpin akan menjadi budaya jika tidak dibendung.

Katanya mengingatkan Individu terbabit supaya tidak berselindung di sebalik parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila mengeluarkan kenyataan itu.

"Saya bukannya mahu bermain politik, kebetulan (individu berkenaan) adalah orang Pas. Jangan bersembunyi di sebalik nama parti atau NGO.

"Budaya apa yang sedang dibawakan, tidak mengangkat tangan ketika Sultan Ibrahim didoakan. Kita kena ingat pesanan Nabi Muhammad SAW, kita doakan pemimpin dan pemimpin juga doakan kita," katanya.

Jumaat lalu, seorang individu menerusi media sosial Facebook dengan nama Hezry Yassin menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hingga mencetuskan kemarahan orang ramai sebelum tampil membuat permohonan maaf pada kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 4:33 PM