GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Pemasangan kamera litar tertutup perlu diperluaskan di setiap kawasan awam dan sempadan negara supaya dapat membantu dalam penyiasatan jenayah.

Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, ia sebahagian daripada usaha menjaga dan untuk menjaga dan memperketatkan lagi keselamatan negara.

"Saya menekankan perlunya pemasangan kamera litar tertutup dilakukan agar penyiasatan jenayah di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, bukan hanya bergantung kepada anggota keselamatan negara semata-mata.

"Dalam masa sama kita juga buka peluang kepada semua 39 juta rakyat Malaysia untuk menjadi mata kepada anggota keselamatan negara dalam pemantauan pergerakan jenayah," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kemudahan itu juga dapat menjadi pemantau kepada ketirisan di setiap sempadan semasa negara yang menjadi faktor utama jalan tikus keluar dan masuk jenayah.

Beliau diminta mengulas mengenai inisiatif keselamatan susulan kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, awal pagi Ahad, minggu lalu.

Katanya, rakyat negara ini juga wajar diberikan ruang untuk membantu pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat menggunakan CCTV mereka sama ada di premis persendirian atau pun di tempat awam.

"Kalau berjuta orang dapat membantu menerusi akses tertentu, saya yakin ia dapat membantu pihak berkuasa mengesan suspek untuk apa juga kegiatan jenayah yang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 2:16 PM