SEJADAH mini.
SEJADAH mini.
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan meneruskan siasatan terhadap laporan alas kaki tertera gambar Kaabah yang didakwa sejadah mini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, meskipun pihak pasar raya berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa ia sejadah mini, namun bimbang sikap tidak prihatin rangkaian pasar raya besar terkemuka terbabit.

Katanya berdasarkan gambar tular, susunan tanda namaw barang jualan yang ditempatkan sejadah mini, bersama label alas kaki.

"Saya ucap terima kasih atas kenyataan itu tetapi saya hanya boleh mendengar saja. Tindakan lanjut saya akan meminta diteruskan siasatan, soal ada kes ataupun tak ada kes itu bukan bidang kuasa kita.

"Polis juga sudah pun memulakan tindakan siasatannya ketika hari kejadian itu viral. Rampasan juga telah dibuat.

"Kalau awak (pihak pasar raya) tahu sejadah itu mulia kenapa diletakkan sekali (bersama alas kaki). Saya ada gambar dan maklumatnya.

"Namun kenyataan yang mereka keluarkan itu saya boleh dengar saja, sebagai agensi penguatkuasa dan agensi agama di negeri Johor saya akan bersifat bertanggungjawab kepada agama saya terlebih dulu sebelum saya menimbangkan keterangan itu, "katanya selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) di Sekolah Agama Kota Tinggi, Jalan Idris, Taman Sri Lalang, Kota Tinggi hari ini.

Menurut Mohd Fared, pihaknya meminta perbetulkan dakwaan bahawa kepingan itu adalah sejadah mini, berikutan kedudukan Kaabah di sejadah tersebut berada ditempat yang tidak sepatutnya

"Saya tidak pernah nampak sejadah yang gambar Kaabah di hujung-hujung ataupun separuh saja.

"Walaupun sejadah mestilah memperlihatkan rupa bentuk sejadah itu sendiri kalau dia ada gambar Kaabah letak di tengah-tengah, kalau tidak reti hendak reka bentuk jangan cuba untuk reka bentuk. Tanyalah JANIJ sebelum awak menjual ataupun bertanyalah kepada agensi kerajaan berkaitan agama," katanya.

Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semerah berkata sensitiviti agama tidak hanya boleh dijelaskan dengan keterangan semata-mata diatas sekeping kertas kerana ia membabitkan kemuliaan agama itu sendiri dan perasaan semua umat Islam.

Katanya difahamkan sejadah tersebut juga dikeluarkan syarikat Bumiputera tempatan.

"Sangat memalukan sebagai orang tempatan yang tidak tahu rupa sejadah yang sebenar.

"Kita sangat berdukacita perkara ini selepas satu-satu jadi adakah ia disengajakan ataupun tidak saya tak boleh membuat sebarang keputusan tetapi sebagai exco agama kita akan memberikan penjelasan dan penerangan serta didikan kepada semua pihak. Kita akan memanggil mereka dan membuat sesi libat urus supaya tidak lagi berlaku perkara seperti ini.

"Sesi ini akan diadakan secepatnya. Hari ini akan ada kenyataan bersama Menteri Agama dan juga saya pertama kalinya dibuat ia adalah kenyataan yang bersifat tegas tetapi memberikan penjelasan kepada orang-orang Islam supaya bertenang dan menyerahkan semua tanggungjawab ini kepada badan-badan agama negeri dan pusat pada masa yang sama memberikan amaran kepada semua pihak supaya sentiasa menghormati sensitiviti umat Islam dan juga agama-agama lain," katanya.

Terdahulu, AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menyedari perkongsian di media sosial berhubung sejadah mini yang dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 1:56 PM