FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Faris Fuad


Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Putrajaya yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap lelaki Pakistan yang didakwa merogol kanak-kanak yang dilacurkan bapanya.

Turut dikekalkan hukuman lima sebatan terhadap Yousaf Gul, 39, dan perintah kaunseling pemulihan ketika menjalani hukuman penjara serta pengawasan polis selama tiga tahun setelah selesai dengan hukuman terbabit.

Tertuduh sebelum itu menukar pengakuan kepada bersalah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roszianayati Ahmad berkata, tiada keperluan untuk Mahkamah Tinggi mengusik dapatan dan keputusan Mahkamah Sesyen.

"Mahkamah Tinggi meneliti alasan penghakiman Mahkamah Sesyen dalam mempertimbangkan hukuman terhadap perayu (Yousaf) dan Mahkamah Tinggi mendapati ia adalah dalam ruang lingkup prinsip undang-undang penghukuman.

"Mahkamah Sesyen mempertimbangkan semua faktor untuk mencapai kepada suatu hukuman yang setimpal. Hukuman dan perintah diberikan bukan suatu yang melampau," katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 1 April lalu yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-kehakiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, Hulu Langat, pada November 2018.

Kesalahan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) KK memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

Roszianayati berkata, pengakuan salah perayu adalah betul dan selamat.

"Saya juga meneliti nota keterangan yang jelas menunjukkan bahawa tertuduh antara orang yang merogol mangsa.

"Keterangan menunjukkan mangsa dilacurkan oleh bapanya yang juga saksi dalam kes ini.

"Mangsa mengecam perayu sebagai orang yang merogolnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 9:20 AM