Platform  beri inspirasi  rakyat Malaysia realisasikan impian.
Platform beri inspirasi rakyat Malaysia realisasikan impian.
Oleh Suliati Asri

   

Kempen 'Gaji Seumur Hidup' Nestlé yang dilancarkan pada 2020 bukan saja mendapat sambutan yang luar biasa, tetapi turut menjadi platform penting bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia merealisasikan impian.

Bukan itu saja, ia secara tidak langsung dapat menyokong pelbagai badan amal pada saat-saat genting semasa perintah kawalan pergerakan disebabkan Covid-19.

Selepas empat tahun, Nestlé Malaysia bakal menganjurkan semula peraduan ini dengan aspirasi untuk meningkatkan taraf hidup individu sambil menyumbang kepada tujuan amal.

Bagi pemenang hadiah utama, Amirrul Hafiz Razak, 36, 'Gaji Seumur Hidup' 2020 adalah titik perubahan baginya.

Menurutnya, dia berdepan kesukaran sebelum menjadi finalis terutama ketika dia dan isteri sedang menantikan kelahiran zuriat pertama, menjadikan kemenangan ini lebih bermakna.

"Sebagai salah seorang finalis termuda, saya hanya berhasrat untuk mendapatkan hadiah mingguan.

"Kemenangan ini adalah luar dari jangkaan saya dan hadiah wang tunai benar-benar mengubah kehidupan saya dan keluarga," katanya yang berasal dari Pahang.

Amirrul bersyukur kerana kemenangannya itu membolehkannya membantu ibu bapanya, menjamin masa depan anak-anak, membeli rumah yang diimpikan dan terus menyokong badan-badan amal.

"Hadiah wang tunai yang dimenangi itu juga akan menjadi tambahan kepada pencen yang akan diterima apabila bersara daripada jawatannya sebagai juruteknik tentera," katanya.

Bagi naib juara Azahari Salleh, 46, yang memenangi 'Gaji Setahun' berkata kemenangannya itu yang cukup bermakna.

Menurutnya, ketika itu perniagaan kedai komputernya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sekali gus menuntutnya untuk beralih kepada jualan dalam talian.

"Saya terpanggil untuk menyertai Peraduan 'Gaji Seumur Hidup' 2020 selepas melihat kesusahan dan pemberhentian tetap yang memberi kesan ke atas kehidupan ramai.

"Kemenangan ini bukan saja membina jaringan keselamatan kewangan buat saya dan isteri, tetapi juga meluaskan rangkaian perniagaan saya," katanya.

Azahari berkata kemenangannya itu juga memberinya harapan baru, memenuhi impiannya seperti menunaikan umrah dan membiayai tanah pusaka keluarga.

"Komited untuk memberi kembali, saya juga menggunakan hadiah wang tunai daripada Nestlé Malaysia untuk tujuan amal," katanya.

Menerusi peraduan 'Gaji Seumur Hidup' ini, Nestlé Malaysia tidak hanya memberikan hadiah wang tunai kepada pemenang, tetapi turut menyediakan sumbangan wang tunai kepada 17 badan-badan amal tempatan yang dipilih oleh finalis sendiri.

Bendahari PERTIWI, Elinor Kamalul Azmi berkata sumbangan Nestlé Malaysia adalah tepat pada masanya.

Katanya, sumbangan yang diberikan itu membolehkan kami mengagih lebih 14,000 hidangan panas kepada golongan miskin bandar dan gelandangan yang bergelut semasa kemuncak pandemik Covid-19.

"Makanan ini bukan saja mengisi perut kosong tetapi turut membantu meringankan beban, membolehkan keluarga yang kurang bernasib baik untuk mengutamakan sumber kewangan bagi perbelanjaan lain seperti pembelian susu dan lampin untuk anak-anak mereka masih kecil, "katanya.

Manakala satu lagi pertubuhan amal yang menerima sumbangan menerusi peraduan ini adalah Pusat Autisme IDEAS.

Pengetua dan Pengurusnya, Sharifah Salleh berkata sumbangan yang diterima itu sangat membantu untuk sesi terapi yang diperlukan dan sokongan kesihatan mental secara atas talian untuk ibu bapa serta kanak-kanak autisme.

Katanya, bantuan itu juga membolehkan pihaknya penyediaan alat bantu mengajar untuk program pembelajaran di rumah yang disesuaikan untuk kanak-kanak ini.

"Dengan sumbangan dari Nestlé ini, kami dapat menyediakan bekalan makanan dan mengagihkan produk kesihatan kepada keluarga B40 bagi meringankan beban mereka terutamanya semasa Covid-19,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata kejayaan 'Gaji Seumur Hidup' pada 2020 menunjukkan komitmen pihaknya untuk mengubah kehidupan ramai menjadi lebih baik sambil memacu impak yang bermakna dalam komuniti setempat.

"Kami sangat teruja untuk menganjurkan semula peraduan ini dengan edisi seterusnya yang akan dianjurkan tahun ini.

"Peraduan ini akan memberi lebih ramai rakyat Malaysia peluang luar biasa untuk mencapai impian mereka dan bersatu dalam menyebarkan kebaikan untuk masyarakat," katanya.

Nantikan babak menarik peraduan 'Gaji Seumur Hidup' edisi terbaru yang bakal menawarkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia merealisasikan impian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:03 AM