ONN Abu Bakar (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan jeti di Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit. FOTO ALIAS ABD RANI
ONN Abu Bakar (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan jeti di Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit. FOTO ALIAS ABD RANI
Oleh Alias Abd Rani


Batu Pahat: Masalah jeti nelayan di Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit yang semakin uzur akan diangkat kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Perikanan dan juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata, beliau akan bertemu agensi terbabit untuk berunding mengenai masalah itu.

Beliau turut mengakui keperluan di jeti berkenaan perlu diberi perhatian kerana keadaannya yang semakin uzur.

Beliau berkata, hasil pertemuan dengan sebahagian nelayan di kawasan itu, jeti itu perlu dipanjangkan lagi sehingga 30 meter.

"Apa yang saya lihat dan dengar keluhan mereka, jeti yang sedia ada sudah tidak cukup untuk menampung bot sedia ada.

"Jadi, saya turun ke kawasan untuk mendengar permasalahan yang dihadapinya dan saya akan berusaha membawa isu ini ke peringkat tertinggi.

"Kewajaran untuk menaik taraf atau membina jeti baru memang ada jika dilihat dengan jumlah bot semakin bertambah," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan 50 nelayan pantai di Kampung Sungai Bagan Laut, dekat Rengit yang terpaksa berkongsi ruang untuk melabuhkan bot masing-masing.

Ia susulan jeti yang berusia lebih 40 tahun bukan sahaja semakin padat malah keadaan tiang di bawahnya semakin uzur dengan sebahagian besi mula berkarat manakala konkrit sudah pecah.

Situasi ini menambahkan kesukaran nelayan untuk turun ke pantai kerana terpaksa berhimpit malah tidak kurang juga yang membuat sambungan menggunakan duit poket sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Nelayan Bagan Laut, Rosman Arifin berkata, pihaknya membuat dua permohonan terdiri pembesaran jeti dan bangunan pejabat.

Menurutnya, kedua-dua permohonan itu dibuat berdasarkan memandangkan bangunan sedia terlalu usang.

"Jika ada pihak tertentu termasuk wakil rakyat datang melawat, tiada tempat untuk kami (nelayan) berbincang secara bersemuka.

"Kami harap, permohonan itu diluluskan kerana penting bagi komuniti nelayan di sini menikmati kemudahan yang selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:02 AM