MUHAMMAD Fawwaz ketika membaca teks khutbah Hari Raya Aidilfitri.
MUHAMMAD Fawwaz ketika membaca teks khutbah Hari Raya Aidilfitri.
Oleh Muhammad Fawwaz Iskandar Md Fuzi

Nostalgia sambutan Hari Raya Aidilfitri cukup berbekas dalam diri ini. Tatkala negara kita masih dibelenggu penularan virus Covid-19 sejak tahun 2020 lagi, ingatanku masih segar akan kisah sambutan Aidilfitri pada tahun 2021 lalu.

Apa tidaknya, aku dipilih dalam keluarga untuk menjadi imam solat sunat hari raya di rumah. Ketika itu usiaku 16 tahun. Seramai lima ahli keluarga menjadi makmum ketika solat sunat dilaksanakan pada 13 Mei 2021 itu.

Paling membanggakan dan bagaikan 'tidak percaya' apabila aku diminta menjadi imam dan membaca khutbah raya menggunakan teks yang dibekalkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada semua 'imam kecil' di rumah masing-masing. Mujurlah aku mempunyai serba sedikit latar belakang ilmu agama ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah, Sabak Bernam ketika itu.

Persiapan sambutan raya dilakukan penuh kesederhanaan di rumah.

Ibu memasak juadah raya seperti ketupat dan rendang ayam kepada ayah dan kami empat beranak.

Malam sebelum sambutan hari raya, aku mengulang kaji dan membaca teks khutbah hari raya Aidilfitri itu.

Isi kandungan cerita khutbah itu perlu difahami terlebih dahulu sebelum aku membacakannya kepada ahli keluarga di rumah.

Cerita khutbah berkisar sambutan Aidilfitri di rumah masing-masing mengikut standard prosedur operasi (SOP) ketat ketika berhadapan penularan virus berbahaya itu.

Seluruh ahli keluargaku mendengar dan menghayati kandungan khutbah dengan penuh tekun dan khusyuk.

Ada daripada mereka mengalirkan air mata ketika itu.

Pengalaman menarik ini sukar dilupakan dalam hidupku sehingga kini. Aku ada mencoretkan kisah ini dalam diari usang yang disimpan dalam rak bahan bacaan di penjuru kanan ruang tamu rumah kami.

Selepas solat sunat hari raya, kami diberikan 'ang pau' oleh ayah dan ibu di ruang tamu.

Kesempatan yang ada ini ingin sangatku melontarkan pengkisahan ini bersama para peminat setia Harian Metro.

Semoga kita dapat mengeratkan tali silaturahim di lebaran mulia penuh ukhuwah kekeluargaan.

Bersama samalah kita mendoakan agar negara sentiasa selamat dan bahagia tanpa virus Covid-19 lagi.

Pengalaman dan kenangan menarik aku ini dapat diungkakan dalam serangkap pantun:

Sambutan Aidilfitri 2021 cukup bermakna,

Kenangan Covid-19 tidak dapat dilupakan,

Memori khutbah raya cetus pelbagai nostalgia,

Menyentuh kalbu, syahdu dan memahat kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:02 AM