S. Hemala
S. Hemala
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dana Khas Rm50 Juta Yang Diperuntukkan Kepada Usahawan Wanita India Menerusi Program Prosperity Empowerment and a New Normal For Indian Women (Penn) Diyakini Dapat Memperkasakan Dan Menjamin Masa Depan Golongan Berkenaan.

Ketua Unit sayap Wanita Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) S. Hemala berkata dana itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan usahawan wanita India di Malaysia selama ini.

"Ramai wanita India memerlukan sokongan, kerjasama, panduan dan juga dana untuk memajukan perniagaan. Ramai juga dalam kalangan mereka yang mahu perniagaan diperkasakan ke satu tahap yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas peruntukan dana khas oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bertujuan memperkasakan usahawan wanita India menerusi program PENN yang diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan pada Sabtu lalu.

Ramanan dalam ucapan pada majlis pengumuman dana khas itu berkata peruntukan yang menggunakan dana dalaman AIM itu memberi manfaat kepada lebih 7,100 Sahabat Usahawan India yang baharu dan meningkatkan jumlah penerima manfaat Skim Pinjaman Ikhtiar AIM kepada 10,200 orang termasuk 3,100 Sahabat Usahawan sedia ada.

Hemala berkata MAICCI sedia membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta AIM untuk menjayakan program PENN melalui kerjasama strategik khususnya dengan mengadakan kempen kesedaran.

"Saya yakin lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan melalui program ini yang sudah tentunya akan memberikan impak yang cukup berkesan untuk pembangunan ekonomi negara," katanya.

Ahli Sahabat Usahawan AIM boleh menghantar permohonan bagi program PENN di 124 Pejabat Cawangan AIM di seluruh negara bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 6:21 PM