KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembantu jualan dipenjara tiga hari dan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mencuri empat kotak minuman dan dua peket mi segera perisa kari di sebuah kantin, semalam.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ady Putra Mustaen, 28, selepas mengaku bersalah mencuri barang berkenaan bernilai anggaran RM140 di kantin WCT Sdn Bhd Construction Store di Dang Wangi pada 8 malam, 14 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Bagi kesalahan kedua boleh dikenakan hukuman penjara dan denda atau sebat.

Mahkamah turut memerintahkan penjual tudung dan telekung itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara sembilan hari jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun Ady Putra yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan mempunyai tanggungan keluarga termasuk menjaga ibu yang sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:26 PM