TINJAUAN di balai pelepasan KLIA Terminal 1. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TINJAUAN di balai pelepasan KLIA Terminal 1. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan semua agensi keselamatan di bawahnya sentiasa mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan di pintu masuk dan sempadan negara sama termasuk lapangan terbang antarabangsa.

Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, justeru rakyat tidak perlu bimbang susulan insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 semalam kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil tindakan sewajar terutamanya mengesan suspek.

Katanya, PDRM terbukti berjaya menangani kes seumpama itu yang pernah berlaku sebelum ini dengan menggunakan segala kepakaran yang mereka ada.

"Rakyat jangan bimbang dengan tahap keselamatan di KLIA dan sempadan memandangkan PDRM dan agensi keselamatan lain sentiasa ambil berat soal tahap keselamatan," katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood.

Terdahulu pengawal peribadi kepada seorang wanita cedera dalam kejadian tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 sekitar jam 1.15 pagi semalam.

Tembakan dilepaskan suspek yang dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, dan polis mengesahkan kejadian bersifat peribadi dan tidak membabitkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata cadangan pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu yang baharu masih di peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri Perak dan akan dimuktamadkan selepas bulan depan.

SHAMSUL Anuar ketika melakukan lawatan kerja di IPD Pengkalan Hulu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SHAMSUL Anuar ketika melakukan lawatan kerja di IPD Pengkalan Hulu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 4:24 PM