ZAINOL. FOTO Arkib NSTP
ZAINOL. FOTO Arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Bukan secara mingguan atau bulanan, sebaliknya 'gerak gempur dadah' dilaksanakan setiap hari oleh polis Kontinjen Melaka bagi menangani musuh nombor satu negara.

Usaha itu membuahkan hasil apabila dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini kes pengedaran dan pemilikan dadah termasuk 'tokan dadah' di negeri ini menunjukkan trend penurunan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, Op Tapis dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJNK) Melaka dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJND) bagi membanteras segala elemen berkaitan dadah iaitu bekalan (pengedaran), pemilikan dan penagihan dadah.

Katanya, berdasarkan statistik perbandingan tangkapan, kes bekalan yang disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1) dan 6B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, mencatatkan penurunan iaitu 213 kes bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 225 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Tangkapan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(3) dan 6 ADB 1952 serta Akta Racun 1952 juga menurun daripada 652 kes bagi tempoh kajian pada tahun lalu kepada 558 kes tahun ini," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, keberkesanan Op Tapis harian juga menyaksikan jumlah tangkapan keseluruhan meningkat 24 peratus atau seramai 2,065 orang bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding 1,655 orang bagi tempoh sama tahun lalu.

"Daripada 2,065 orang ini, 1,753 orang adalah kes berulang, 162 kes dikehendaki dan 150 kes baharu berbanding tahun lalu, kes berulang (1,465), dikehendaki (90) dan baharu (110).

"Individu yang ditahan ini dibahagikan kepada beberapa kategori umur antara 14 tahun hingga lebih 41 tahun termasuk pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Sementara itu, Zainol berkata, dari segi pecahan mengikut daerah, Melaka Tengah merekodkan tangkapan tertinggi kes urin mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, iaitu 1,240 diikuti Alor Gajah (507) dan Jasin (318) bagi Januari hingga Mac tahun ini berbanding tahun lalu, masing-masing merekodkan 904 kes, 461 kes dan 300 kes.

"Bagi kes memiliki, Melaka Tengah mencatatkan 325 kes diikuti Alor Gajah (131) dan Jasin (102) pada tahun ini manakala bagi kategori bekalan, Melaka Tengah kekal 156 kes, manakala Alor Gajah dan Jasin menurun dua dan 10 kes berbanding tahun lalu kepada 40 dan 17 kes," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 605 kertas siasatan dibuka dan 540 kes dituduh di mahkamah bagi Januari hingga Mac tahun ini membabitkan kes bekalan, memiliki dan akta racun berbanding 615 kertas siasatan dibuka dan 610 kes dituduh bagi tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 3:47 PM