KELIHATAN anggota keselamatan membuat rondaan susulan kes tembakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KELIHATAN anggota keselamatan membuat rondaan susulan kes tembakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan tahap keselamatan susulan insiden pengawal peribadi kritikal selepas ditembak seorang lelaki di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini berikutan keselamatan nyawa pengguna di pintu masuk utama negara sewajarnya

menjadi keutamaan.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) perlu segera mencari penyelesaian.

"Ini bukan perkara main-main, walaupun kes dikatakan bersifat peribadi tetapi ada kemungkinan berlaku lagi perkara sedemikian jika keselamatan tidak dipertingkatkan.

"Nampak seperti mudah sangat. Penjenayah nampak senang sahaja masuk terminal membawa senjata api dan meloloskan diri pun senang.

"Keselamatan nyawa pengguna di KLIA yang juga lapangan terbang antara tersibuk di dunia adalah keutamaan selain ia membabitkan imej negara serta kawasan strategik yang sensitif," katanya.

Menurutnya, antara cadangan boleh dipertimbangkan selain meletakkan anggota polis dan tentera sebagai tambahan kepada Polis Bantuan MAHB adalah memasang kelengkapan alat pengesan logam di semua pintu masuk terminal dari luar termasuk di kawasan parkir dan di pintu lapisan pertama dari laluan mengambil serta menurunkan penumpang.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim berkata, insiden tembakan di KLIA membuka mata kepada beberapa perkara berkaitan keselamatan dan jajaran tindakan oleh pihak berkuasa yang dapat dilihat dengan jelas.

"Ramai yang hanya mengecam tindakan pihak berkuasa tetapi terlupa bahawa jika diperinci, kerana tindak balas segeralah nyawa awam yang lain terselamat.

"Yang menjadi persoalan bukan bagaimana mudah seorang yang mempunyai senjata api berada di dalam terminal, tetapi bagaimana dia mempunyai maklumat kehadiran sasarannya di situ.

"Selaku tempat awam, kawalan keselamatan yang dibuat perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk aliran keluar masuk dan penyuraian orang ramai yang berada di lokasi sedemikian," katanya.

enurutnya, apa pun langkah atau cadangan, ia perlu praktikal supaya tidak menganggu kelancaran aktiviti di lapangan terbang khususnya penumpang pesawat yang perlu mematuhi masa penerbangan.

"Berkenaan tindakan suspek yang dapat meloloskan diri, ia konsisten dengan jenayah yang sudah pun dirancang dan bukan secara rawak.

"Walaupun kritikan boleh dibuat, pujian tetap harus diberikan kerana tindakan (pantas) pihak berkuasa di sana (KLIA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:43 PM