AMIR Nur Rashid.
AMIR Nur Rashid.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa universiti itu mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu penangguhan tarikh istiadat konvokesyen.

Yang Dipertuanya Amir Nur Rashid Lizam berkata, ini disebabkan semua graduan mempersoal dan tertanya-tanya alasan penangguhan konvokesyen berkenaan.

Menurutnya, ia disebabkan mereka yang sudah menamatkan pengajian amat memerlukan transkrip akademik rasmi untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.

"Pihak MPP sendiri tidak mendapat sebarang pemakluman berkenaan asbab penangguhan istiadat (konvokesyen) tersebut.

"Namun, kami akan cuba mendapatkan penjelasan berkenaan perkara ini secepat mungkin. Kami juga menggesa ada pemakluman segera daripada pengurusan UiTM supaya persoalan akan terjawab," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Amir berkata, beliau juga kurang bersetuju dengan tindakan penangguhan terbabit.

"Namun, pada pandangan saya, setiap perkara dilakukan oleh pihak pengurusan mempunyai alasan tersendiri kerana konvokesyen UiTM adalah satu istiadat melibatkan banyak protokol berbanding majlis konvokesyen biasa," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan graduan UiTM kecewa apabila Istiadat Konvokesyen ke-99 ditangguhkan buat kali kedua.

Dilaporkan, konvokesyen itu yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan selepas ditangguhkan pada Disember tahun lalu sekali lagi ditangguhkan dan dijangka diadakan pada September akan datang.

Bagaimanapun, UiTM dalam kenyataan susulan menyifatkan isu berkaitan tarikh konvokesyen yang ditangguhkan sebanyak dua kali adalah tidak tepat.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini hanya mengeluarkan pemakluman Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 bagi Disember 2023 dijangka diadakan pada Mei/Jun 2024 tertakluk kepada pindaan, tetapi dianjak ke September/Oktober 2024.

Katanya, tarikh rasmi akan diumumkan apabila tarikh muktamad diperolehi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 12:18 PM