SYED Abu Hussin (kiri) melihat keadaan rumah yang rosak teruk akibat kejadian pokok tumbang di belakang rumah milik penduduk, Baderol Hisam Mohd Yusoh, 51, di Kampung Sungai Lubok Trong hari ini. FOTO Bernama
SYED Abu Hussin (kiri) melihat keadaan rumah yang rosak teruk akibat kejadian pokok tumbang di belakang rumah milik penduduk, Baderol Hisam Mohd Yusoh, 51, di Kampung Sungai Lubok Trong hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Bukit Gantang: Sebuah keluarga terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan selepas rumah mereka di Kampung Sungai Lubok, Trong dekat sini dihempap pokok kelapa sawit dua hari sebelum Syawal.

Baderol Hisam Mohd Yusoh, 51, berkata sebatang pokok kelapa sawit setinggi 13 meter tiba-tiba tumbang menyebabkan bahagian dapur kediamannya rosak dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari pada 8 April lalu.

"Ketika kejadian cuaca cerah dan saya sedang tidur. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat, saya bangun dan terus ke belakang rumah dan dapati pokok kelapa sawit menghempap dapur rumah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Baderol Hisam yang juga bekas pemandu kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri bersyukur kerana ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang meninjau keadaan rumah tersebut menyumbangkan bantuan RM10,000 bagi tujuan baik pulih kediaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 10:39 PM