ANWAR ketika mengadakan mesyuarat bersama Ahmad Zahid (dua dari kanan), Mohamad (dua kiri) dan pegawai tertinggi mengenai isu terkini di Timur Tengah. FOTO FB Anwar Ibrahim
ANWAR ketika mengadakan mesyuarat bersama Ahmad Zahid (dua dari kanan), Mohamad (dua kiri) dan pegawai tertinggi mengenai isu terkini di Timur Tengah. FOTO FB Anwar Ibrahim
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur : Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan yang berlaku di Timur Tengah ketika ini serta kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

"Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah, petang tadi.

Mesyuarat khas itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan.

Mengulas lanjut Anwar berkata, serangan dilancarkan Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.

"Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.

"Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.

"Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau terbabit," katanya.

Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih kata Perdana Menteri, tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini.

"Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 8:42 PM