MOHD Rayyan  menyampaikan sumbangan kepada Faridah. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Rayyan menyampaikan sumbangan kepada Faridah. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Prihatin dengan nasib jiran yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran rumah di Taman Scientex di sini sehari sebelum 1 Syawal, sekumpulan kanak-kanak berkongsi duit raya yang diperoleh dan menghulurkan sumbangan.

Haraskaiser Mohd Khairul Amri, 11, berkata, hatinya terdetik untuk mengajak enam kawannya menyumbang duit yang mereka peroleh selepas beraya di taman itu.

"Kami sedih kerana makcik (mangsa) dan keluarganya tidak dapat beraya.

"Kami dapat kumpulkan duit raya semuanya RM17," katanya.

Pada 12 tengah Selasa lalu, rumah Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah P Hamsa, 40, terbakar sehingga memusnahkan bahagian depan dan ruang tamu rumah berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Video kebakaran rumah itu tular sehingga mengundang simpati orang ramai kerana berlaku pada hari terakhir dalam bulan Ramadan.

Sementara itu, Mohd Rayyan Ramadan Mohd Saifudin, 11, berasa gembira kerana dapat menghulurkan sumbangan.

"Saya tidak kisah berkongsi duit raya, ibu bapa kami juga kerap mengingatkan supaya membantu golongan dalam kesusahan," katanya.

Mohd Zafran Izz Cardona, 11, turut meluahkan rasa gembira kerana dapat membantu orang yang dalam kesusahan.

"Saya juga gembira dapat bantu makcik walaupun tak banyak," katanya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Scientex.

Tengku Syahir Fakri Tengku Shah Azuwal, 11, pula berharap sumbangan itu dapat menceriakan keluarga Faridah dalam suasana Syawal yang masih terasa.

Sementara itu, Faridah meluahkan rasa terharu dengan keprihatian anak-anak jirannya yang menunjukkan sikap mengambil berat walaupun masih kecil.

"Bukan jumlah yang dikira tetapi rasa keprihatinan mereka betul-betul membuatkan hati saya tersentuh," ujar ibu kepada anak berusia 2 sehingga 19 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:59 PM