SULTAN Ibrahim berkenan meninjau persekitaran daerah Mersing dengan helikopter hari ini. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim berkenan meninjau persekitaran daerah Mersing dengan helikopter hari ini. FOTO Ihsan RPO
Omar Ahmad


Johor Bahru : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan meninjau persekitaran daerah Mersing melalui udara, hari ini.

Seri Paduka Baginda berangkat dari lapangan helikopter Istana Bukit Serene, di sini kira-kira jam 9.30 pagi menggunakan helikopter Sikorsky milik Baginda sebelum mendarat di Istana Flintstones.

Dalam tinjauan udara selama hampir 40 minit, Sultan Ibrahim turut meninjau pesisir pantai Mersing, Kem Iskandar, Istana Flintstones dan Lighthouse Istana Flintstones.

Seri Paduka bertitah Mersing adalah sebuah daerah pelancongan yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara serta kaya dengan keindahan alam.

"Dalam tinjauan udara selama hampir 40 minit ini, saya meninjau persekitaran daerah Mersing termasuk pesisir pantai.

"Mersing bukan sahaja kaya dengan keindahan flora dan fauna, malah terdapat banyak pulau yang menjadi tarikan pelancong," titah Seri Paduka yang dimuat naik di laman sosial Facebook.

Dalam masa sama, Seri Paduka turut mengingatkan pemilik resort serta penduduk kampung supaya bertanggungjawab menjaga kebersihan pulau.

"Jangan terkejut jika saya membuat rondaan secara mengejut di kawasan perkampungan serta pulau persekitaran Mersing," titah baginda.

Dalam tinjauan itu, Seri Paduka turut meninjau fasilitas bot di Kem Iskandar dan mendapati kolam selam tempur di kem berkenaan belum siap sepenuhnya walaupun ia sepatutnya diserahkan kepada 21 Gerup Gerak Khas (GGK) pada Disember 2022.

"Malah, saya dimaklumkan sehingga sekarang lanjutan masa sebanyak enam kali telah dimohon oleh pihak yang berkenaan," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:33 PM