NOR Hafizah (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada Faridah. FOTO Mary Victoria Dass
NOR Hafizah (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada Faridah. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Seorang remaja perempuan nekad meredah asap dan api bagi menyelamatkan adik bongsunya ketika rumahnya terbakar di Taman Scientex di sini, Selasa lalu.

Nur Farah Syazatul Alieya Abdul Hamed, 16, berkata, dalam kejadian sehari sebelum Aidilfitri, dia yang sedang memandikan adik perempuannya, 2, di tingkat atas sebelum terdengar bunyi letupan dan menyangkakan anak-anak jirannya sedang bermain mercun depan rumah.

"Saya turun dari tingkat atas dan terperanjat mendapati asap sudah menebal di tingkat bawah sebelum berlari menjerit meminta pertolongan jiran dan mengetuk rumah mereka.

"Kemudian saya ke tingkat atas semula untuk menyelamatkan adik saya sebelum berlari merempuh asap tebal dan api membawanya keluar rumah.

"Ketika kejadian saya sedang memandikan adik saya sementara ibu dan dua abang berada di rumah nenek kami di Bandar Bistari Perdana," katanya ketika ditemui selepas keluarganya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor di kediamannya, hari ini.

Kebakaran pada 12 tengah hari di rumah teres dua tingkat itu memusnahkan bahagian depan dan ruang tamu rumah berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Video kebakaran rumah itu yang dirakamkan penduduk taman itu tular dalam media sosial sehingga mengundang simpati orang ramai kerana berlaku pada hari terakhir Ramadan dan sedang dalam kesibukan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, ibunya, Faridah P Hamsa, 40, berkata, semasa kejadian jiran tampil membantu memadam kebakaran dengan memanjat rumah sebelah dan menggunakan paip getah untuk memadamkan api sehingga dapat dikawal.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata) serta sukarelawan berterima kasih dan bersyukur kerana tindakan pantas jiran berjaya memadam kebakaran malah menghalangnya daripada merebak ke rumah sebelah.

"Ketika kejadian saya dalam perjalanan mahu mengambil baju raya anak lelaki saya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

"Dalam perjalanan kereta pula pancit sebelum ahli keluarga dan jiran menelefon memaklumkan rumah saya terbakar," katanya.

Ibu kepada empat anak berusia dua sehingga 19 tahun itu berkata, dia tidak sangka ditimpa musibah ketika Aidilfitri.

"Apabila sampai sudah ramai orang termasuk ahli keluarga di rumah, saya seakan tidak percaya rumah terbakar.

"Kebiasaannya saya bantu mangsa kebakaran atau mangsa banjir, kini saya pula diuji, sekarang barulah saya tahu emosi sebenar mangsa kebakaran macam mana," katanya.

Menurutnya, pakaian raya, seragam sekolah dan semua pakaian di tingkat atas menjadi hitam serta berbau sementara bantuan empat bungkusan pakaian raya untuk asnaf juga musnah dalam kebakaran itu yang dirancang untuk dihantar pada petang Selasa.

"Saya redha dengan ketentuan tuhan," katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Nor Hafizah Ahmad berkata, pihaknya menyampaikan bantuan segera RM300 selain sumbangan makanan, selimut, tuala dan barang keperluan lain bagi meringankan beban Faridah serta keluarganya.

Terdahulu, Faridah menerima sumbangan Presiden Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Zaini Atan yang juga Timbalan Presiden Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor (DTUPBNJ) di rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 5:39 PM