Zaidy (kiri) pada majlis menyerah tugas kepada Wan Azharuddin (kanan) sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda yang baharu disaksikan Fisol (tengah). FOTO Zuliaty Zulkifli
Zaidy (kiri) pada majlis menyerah tugas kepada Wan Azharuddin (kanan) sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda yang baharu disaksikan Fisol (tengah). FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis Kedah mengetatkan kawalan terutama di sempadan selain membantu secara optimum sekiranya suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor didapati berada di negeri ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya sudah pun bersiap sedia untuk membantu pasukan Bukit Aman dalam menangani kes terbabit.

Beliau berkata, pelbagai agensi di sempadan mempunyai tugas masing-masing malah selain polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dalam keadaan siap siaga.

"Polis Kontinjen Kedah sentiasa akan memberi sokongan dengan menyalurkan sebarang maklumat yang diperoleh berkaitan suspek.

"Namun setakat ini, gambar suspek belum diedar di sini kerana itu adalah tindakan daripada Bukit Aman," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Terdahulu, Fisol turut menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan dengan Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.

Dalam pada itu, Fisol berkata, setakat ini sekatan jalan raya (SJR) memang sudah dilaksanakan di kawasan sempadan namun polis Kedah akan terus mengetatkan kawalan bagi memastikan suspek tidak terlepas ke negara jiran yang berada berhampiran dengan negeri ini.

Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan setiap kontinjen polis negeri sudah digerakkan bagi mengesan suspek kes tembakan itu.

Mohd Shuhaily dilapor berkata, semua Ketua Jabatan Siasatan Jenayah kontinjen terdekat dan bersempadan dengan negara jiran digerakkan berikutan suspek didakwa melarikan diri ke utara.

.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 5:23 PM