ANGGOTA polis dilihat melakukan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 di Sepang berikutan kejadian tembakan  mengakibatkan seorang lelaki cedera. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA polis dilihat melakukan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1 di Sepang berikutan kejadian tembakan mengakibatkan seorang lelaki cedera. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang terbabit dalam kejadian tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, Selangor menjalankan perniagaan agensi umrah yang beroperasi di Kota Warisan Sepang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati mereka sudah berkahwin sekitar 14 tahun dan menjalankan perniagaan itu bersama.

Menurutnya, lelaki terbabit memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bersabit kes Selayang, satu kes 506 Kanun Keseksaan/ 323 Kanun Keseksaan bersabit laporan polis di Gombak serta satu kes orang dikehendaki bersabit kes di Muar mengikut Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan.

"Polis juga sudah mengenal pasti kenderaan dinaiki suspek iaitu Honda City warna putih dengan nombor pendaftaran WXU5666.

"Hasil maklumat dan risikan, kita percaya suspek melarikan diri ke arah utara bagi mengelak ditahan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Razarudin berkata, siasatan juga mendapati pistol itu dimiliki secara haram dengan kaliber peluru 9 milimeter (mm) semi automatik.

"Kita juga sedang mengenal pasti jenis senjata itu namun siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sama ada dia membeli sendiri atau meminjam pistol itu.

"Dalam kejadian itu pengawal peribadi cedera di bahagian perut dan dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, saksi utama di tempat kejadian adalah isteri suspek dan polis bantuan yang bertugas di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 serta seorang saksi bebas iaitu lelaki tempatan yang turut berada di lokasi kejadian.

"Polis juga sedang menyemak dengan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

"Orang ramai diminta menghentikan membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini termasuk menyebarkan motif kejadian yang masih dalam siasatan lanjut supaya tidak mengganggu siasatan," katanya.

Kes tembak KLIA: Peguam nasihat tak keluar kenyataan - Farah Cie

Polis pantau sempadan elak suspek kes tembak di KLIA lolos

Isteri pengawal peribadi tak sangka suami ditembak pada bulan Syawal

Pengawal peribadi ditembak terpaksa ditidurkan

Suspek miliki 3 rekod jenayah lampau

'Saudara Hafizul... serah diri dengan aman'

Kejadian tembak di KLIA bersifat peribadi - Polis

'Doakan pengawal peribadi saya'

1 cedera terkena tembakan di KLIA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 4:40 PM