Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika bermain di hadapan rumah di Jeram, di sini, 11 April lalu ditemukan selamat.

Mangsa berusia lapan tahun dijumpai pada hari sama iaitu hampir dua jam selepas kehilangannya tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, mangsa didakwa dilarikan kereta berwarna hitam dengan bapanya kemudian memaklumkan kepada polis untuk tindakan segera.

"Kanak-kanak itu kemudian ditemui pada hari sama dengan lokasi penemuan berhampiran rumahnya. Dia dalam keadaan selamat dan tanpa kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ambia berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan beliau mengingatkan orang ramai supaya mengawasi anak masing-masing yang berada di luar rumah ketika musim perayaan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 8:08 AM