AIDILFITRI 2016 akan sentiasa hidup dalam memori.
AIDILFITRI 2016 akan sentiasa hidup dalam memori.
Oleh Ainina Najwa

Sambutan hari raya tidak lagi menyeronokkan seperti dahulu kala. Perasaanku hilang dan diriku bagaikan masih pada tahun yang sudah lama berlalu iaitu 2016. Tahun terakhirku meraikan raya bersama ibu tersayang.

Ibu pergi meninggalkan kami sekeluarga pada Ramadan 2017. Sedih dan pilu rasanya. Baju raya yang sedondon bertemakan merah jambu sudah pun dibeli. Langsir raya yang ibu tempah pun sudah siap dicuci. Aku ingat lagi, ibu sangat teruja dengan langsir baharunya. Namun apakan daya, tidak sempat dia melihat langsir baharu tergantung di rumah kami.

Malam sebelum ibu meninggal, ibu mengajak sanak saudara untuk datang ke rumah esok hari dan berbuka puasa bersama.

Ibu jenis yang gembira apabila orang datang rumah dan makan masakannya. Sekali lagi, apakan dayanya, tidak sempat ibu memasak satu jenis hidangan pun untuk mereka.

Ya, mereka masih datang ke rumah kami. Tetapi, bukan untuk berbuka puasa bersama, datang untuk melawat ibu yang sudah pun meninggal dunia.

Tahun itu, perasaan dan jiwaku kosong ketika hari raya. Bagiku, seperti salah untuk meraikannya dengan gembira sedangkan tiada lagi ibu di sisi. Aku ingat lagi, ketika ibu masih ada, kami akan menyediakan lauk raya bersama pada pagi raya.

Namun, pada tahun itu tiada lagi lauk raya yang selalu dimasak ibu. Aku menjejakkan kaki ke kubur ibu pada pagi raya dengan baju raya berwarna merah jambu yang sepatutnya sedondon dengan ibu. Tiada langsung seri di muka, apatah lagi senyuman pada hari raya.

Kata-kata rindu diucap di kubur ibu. Namun, ucapan hanyalah sekadar ucapan, kesedihan yang hanya sekadar perasaan dan kesal yang hanya sekadar kesalan.

Hari raya 2016 akan sentiasa berada di hatiku. Nostalgianya rasa bila pulang ke kampung halaman milik ibu. Dulu ibu sering belikan bunga api untuk aku dan saudara bermain bersama.

Kami selalu main bunga api pada malam raya. Manakala mak cik dan pak cik yang lain akan bersembang dengan ibu di laman rumah sambil memerhatikan kami.

Pada pagi raya pula, mesti akan berlaku perebutan bilik air sesama saudara. Terngiang-ngiang suara leteran ibu pada pagi raya kerana bersiap lambat. Teringat-ingat betapa gembiranya kami sekeluarga setiap kali raya.

Peluang yang tak dapat aku rasakan lagi. Namun, semua memori itu akan sentiasa berada di ingatanku. Andai diberi satu lagi peluang. Satu lagi peluang untuk menyambut hari raya bersama. Satu lagi peluang untuk lebih menghargai. Sayangnya, semuanya hanyalah harapan semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 7:02 AM