GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Kubu Baharu: Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu masih dalam perbincangan, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata pihaknya menerima banyak cadangan nama sebagai calon PH dalam PRK itu dan senarai nama berkenaan sedang dipertimbangkan.

"Perbincangan bersama PH Selangor telah diadakan dan soal berkenaan dengan calon itu akan diputuskan, kemudian akan dibawa ke peringkat pusat dengan jawatankuasa yang dianggotai lima pemimpin akan membuat keputusan.

"Kami berharap dapat memuktamadkan keputusan untuk meletakkan calon dalam PRK Kuala Kubu Baharu dalam masa terdekat dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon," katanya kepada Bernama selepas upacara sembahyang Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Khalsa Land Camp Site di sini hari ini.

Mengenai kunjungannya ke Gurdwara Sahib Khalsa Land Camp Site bersempena dengan Hari Vaisakhi, Gobind yang juga Menteri Digital berkata selain untuk meraikan permulaan musim menuai mengikut kalendar masyarakat Punjabi dan Sikh itu, ia juga bertujuan beramah mesra bersama penduduk di kawasan berkenaan.

Pada 4 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 4:35 PM