KENDERAAN dinaiki dua beranak yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kampung Permatang Kerat Telunjuk. FOTO ihsan Polis
KENDERAAN dinaiki dua beranak yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kampung Permatang Kerat Telunjuk. FOTO ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


Bandar Baharu: Dua beranak maut selepas kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan lori di Jalan Permatang Kerat Telunjuk, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 8 malam apabila Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 55 tahun bersama lima penumpang termasuk ibunya berusia 85 tahun.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Serdang menghala ke Bandar Baharu.

"Lokasi kejadian mempunyai lampu jalan dan laluan dua hala. Siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard yang dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sisi kanan lori berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan Toyota Alphard itu terbabas ke kiri jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, pemandu Toyota Alphard dan ibunya meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

"Pemandu lori berusia 43 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 11:18 AM